Brigadier Jeneral Rejimen 508 Wataniah Khairy Jamaluddin


KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mendahului pemakaian pangkat pegawai kanan sukarela dan kehormat Askar Wataniah (AW) di Wisma Pertahanan di sini semalam.

Ahli Parlimen Rembau yang berusia 40 tahun itu dinaikkan pangkat daripada Kolonel ke Brigadier Jeneral pada 14 Januari tahun lalu dan beliau kekal di dalam Rejimen 508 Askar Wataniah.

Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO, sebelum itu ditauliahkan sebagai Komander Rejimen 508 AW yang baharu oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada 2014.

Pelantikan beliau turut dipersetujui oleh Majlis Angkatan Tentera Malaysia untuk menggantikan Datuk Shahrom Mohammad yang kemudian dilantik sebagai penasihat Jawatankuasa Pendukung AW.

Untuk rekod, Khairy muncul sebagai sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan dan Pelatih Akademik Terbaik Kursus Asas Perajurit Muda (Sukarela) Siri 1/2010 Rejimen 508 AW pada 2010 lalu.

Dilahirkan di Kuwait dan pernah mendapat pendidikan di Universiti Oxford, United Kingdom, beliau menjalani latihan ketenteraan di sekitar Negeri Sembilan dan Johor selama sebulan.

Turut dinaikkan pangkat mereka ialah Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Siregar Abdullah.

Majlis pemakaian pangkat pegawai kanan sukarela dan kehormat AW itu disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. – Agensi

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com