Bersih 5: Tutup Semua Jalan Ke Dataran Merdeka - KJ


PETALING JAYA - Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menggesa jalan menuju ke Dataran Merdeka ditutup pada 19 November untuk menggagalkan perarakan penunjuk perasaan Bersih 5.

Sinar Harian melaporkan bahawa Menteri Belia dan Sukan menggesa pihak polis untuk menutup jalan raya semasa perhimpunan Bersih 5, kerana bimbang protes tersebut boleh mencetuskan huru-hara.

“Kita tidak mahu kekecohan seperti yang berlaku pada Bersih 3 lalu berulang memandangkan pelbagai tindakan keterlaluan dilakukan waktu itu termasuk terbalikkan kereta polis serta banyak kedai pecah. Perhimpunan Bersih ini boleh cetuskan keadaan huru-hara.

“Jadi kita sarankan supaya PDRM bukan sahaja tidak membenarkan Dataran Merdeka digunakan bagi perhimpunan Bersih 5 tetapi kalau boleh turut mengambil segala tindakan yang diperlukan supaya tiada perarakan bermula dari tempat telah dikenal pasti.

“Kita sudah tahu lokasi berkumpul dan laluan akan digunakan kumpulan Bersih untuk ke Dataran Merdeka, jadi saya harap PDRM tutup jalan tersebut supaya tiada laluan boleh digunakan,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas berhubung perhimpunan Bersih 5 pada 19 November depan.

Mengenai kumpulan Baju Merah Khairy berkata ia adalah sebagai tindak balas terhadap Bersih 5 dan beliau yakin sekiranya tiada Bersih maka baju merah juga tidak akan mengadakan demonstrasi mereka.

“(Baju) Merah hanya hendak tunjuk mereka menentang Bersih, kalau Bersih tidak buat-buat apa sudah tentu merah pun tidak akan buat apa-apa, jadi bebannya terletak di atas Bersih. Cara terbaik ialah tidak membenarkan perhimpunan Bersih 5 berlaku.

“Sekiranya didapati mana-mana ahli Pemuda Umno terlibat dalam Bersih juga kita akan ambil tindakan sebab himpunan Bersih menentang kerajaan Umno dan PM (perdana menteri), ini melanggar disiplin parti,” katanya.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com