Bersatu Bina Ekonomi Berdaya Saing, Tahan Hadapi 2017


KUALA LUMPUR – Segenap rakyat perlu terus bersatu dan bekerja sebagai sebuah negara untuk memastikan ekonomi Malaysia bagi 2017 kekal di landasan pertumbuhan, memandangkan tempoh itu dijangka menjadi satu lagi tahun penuh cabaran sejajar ketidaktentuan prospek pertumbuhan dan perdagangan dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sebagai sebuah negara terbuka, Malaysia perlu bersedia menghadapi risiko luaran yang boleh menggugat pertumbuhan ekonominya dan kerajaan akan terus melaksanakan pendekatan proaktif dalam menangani cabaran mendatang.

“Harga minyak mentah rendah berpanjangan serta ketidaktentuan dalam pasaran kewangan boleh menjejaskan prospek ekonomi negara pesat membangun dan pengeksport minyak,” katanya dalam Prakata Laporan Ekonomi 2016/2017 yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Laporan itu dikeluarkan Kementerian Kewangan sempena pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Najib berkata negara akan terus mengambil langkah proaktif, bekerja sebagai satu pasukan dan memberi penekanan kepada teknologi digital, inovasi dan kreativiti.

Kelebihan tersebut membolehkan negara terus mengukuh ekonomi dan berhadapan dengan ketidaktentuan luaran, katanya.

“Saya yakin, dengan bersatu, cekal dan berpandangan jauh, kita berupaya membina ekonomi yang berdaya saing dan berdaya tahan. Kita akan mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020 sekali gus membawa kemakmuran dan kesejahteraan untuk rakyat dan negara,” katanya.

Beliau berkata kegiatan ekonomi berkembang 4.1 peratus dalam tempoh separuh pertama 2016, didorong oleh kecergasan aktiviti domestik, terutamanya pelaburan dan penggunaan swasta.

“Kerajaan yakin, bagi tahun 2016, unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara empat peratus dan 4.5 peratus dapat dicapai,” katanya.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan terus melaksanakan program dan projek mesra rakyat.

Pelbagai usaha bersepadu terus dipergiatkan untuk menangani kos sara hidup, serta menyediakan rumah mampu milik, perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan latihan kemahiran yang berkualiti, katanya.

Beliau berkata dari sudut kewangan awam, melalui pelaksanaan pelbagai langkah pengukuhan fiskal, kerajaan telah berjaya mengurangkan paras defisit berbanding KDNK daripada 6.7 peratus pada 2009 kepada 3.2 peratus pada 2015 dan dijangka berkurang lagi kepada 3.1 peratus pada 2016.

“Malahan, kerajaan beriltizam mencapai bajet hampir berimbang menjelang 2020,” kata Najib.

Menyentuh aspek perdagangan, beliau berkata penglibatan negara dalam perjanjian perdagangan seperti Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik; Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau; dan Perjanjian Perkongsian Malaysia Malaysia-Negara Persatuan Perdagangan Bebas Eropah akan membolehkan perniagaan Malaysia mengembangkan operasi bagi memenuhi peningkatan permintaan daripada akses pasaran lebih meluas.

“Penglibatan Malaysia dalam perjanjian perdagangan dua hala dan pelbagai hala merupakan langkah strategik negara untuk meraih manfaat daripada gelombang globalisasi yang ketiga dengan nilai perdagangan antarabangsa dijangka mencapai empat kali lebih tinggi pada 2050,” kata beliau.

Pada 2016, jumlah perdagangan luar Malaysia dijangka mencecah RM1.5 trilion, katanya. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com