Baru Usia 15 Tahun, Tapi Diterima Masuk Universiti Ternama Dunia

Antara pelajar program Permata Pintar Negara - Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR -‎ Pelajar Permata Pintar Negara membuktikan kemampuan mereka apabila berjaya memasuki universiti‎ pada usia 15 tahun, malah mampu menempatkan diri di Institusi Pengajian Tinggi ternama dunia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sejak tahun 2009, Pusat Permata Pintar Negara telah mengenal pasti seramai 5,330 orang pelajar yang boleh dikategorikan sebagai "genius" atau pintar pada tahap yang berbeza-beza.

"Daripada jumlah tersebut seramai 732 pelajar telah menerima tawaran untuk memasuki Kolej Permata pintar bermula dari tahun 2011 hingga 2016 dan seramai 415 orang pelajar telah berjaya menamatkan pengajian mereka di Kolej Permata pintar.

"Pelajar tersebut juga sedang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah dalam dan luar negara," katanya dalam jawapan bertulis menjawab pertanyaan Datuk Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) yang bertanyakan ‎sejauh manakah Program Pendidikan Permata pintar berjaya melahirkan pelajar “genius” sejak ia dimulakan pada tahun 2011.


Mengulas lanjut, Azalina berkata, pelajar daripada kumpulan pertama iaitu seramai 115 orang telah berjaya menamatkan pengajian mereka di peringkat Sarjana Muda dan sebahagian mereka telah berjaya mendapatkan tempat untuk melanjutkan pelajaran di universiti dalam dan luar negara.

"Antara universiti luar negara yang telah berjaya ditembusi oleh pelajar-pelajar Permata pintar termasuklah Stanford University, Oxford University, Cambridge University, Cornell University, Johns Hopkins University, Brown University, UCLA, UC Davies, London College University, Imperial College University, Boston University, Royal Holloway University London, University of Michigan dan Penn University.

"Universiti tersebut merupakan universiti terkemuka yang sukar ditembusi oleh pelajar-pelajar melainkan mereka merupakan pelajar yang sangat pintar atau "genius," katanya.

Gambar Hiasan
Malah ujarnya, pelajar-pelajar Permata pintar juga telah berjaya memulakan pengajian mereka di universiti-universiti tersebut pada usia yang muda iaitu seawal 15 tahun.

"Di Malaysia pula pelajar-pelajar ini berada di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)," katanya.

Sementara itu, ujarnya seramai 95 peratus dari pelajar-pelajar tersebut belajar dalam bidang Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM) dan selebihnya dalam bidang sains sosial.

"Salah seorang dari pelajar Permata pintar juga telah diterima bekerja dengan Apple Inc. sebaik sahaja tamat pengajiannya dari University California, Los Angeles," katanya.

Malah ujarnya, dua dari pelajar-pelajar tersebut yang kini sedang melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah di Oxford University dan Stanford University telah diberi peluang untuk menjalankan penyelidikan mereka bersama saintis terkemuka dunia di universiti tersebut.

Kolej Permata pintar adalah sebuah institusi pendidikan sekolah menengah yang diberi taraf sebagai Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada bulan April 2014.

Kolej ini mula mengambil pelajar yang pertama pada tahun 2011.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com