Bapa Sanggup Bawa Anak Kecil Lepas Gian Di Port Binjal

Dua kanak-kanak ini dibawa bapa mereka ketika menagih.
JITRA - Seorang bapa tidak layak dijadikan contoh apabila tergamak membawa anak sebagai peneman ketika melepaskan gian dadah dalam Ops Patah Port Binjal, Jitra, di sini, kelmarin.

Lelaki berusia 37 tahun membawa anak lelaki dan anak perempuannya untuk mengelakkan dicekup dalam operasi diketuai Ketua Unit Risikan, Operasi dan Siasatan, Mohd Syafieq Ismail.

Namun, taktik membawa kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun itu tidak berhasil apabila ditahan penguatkuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah.

Menurut Syafieq, ada penagih dadah sanggup membawa anak kecil ke kawasan port tersebut untuk mengaburi mata masyarakat setempat dan penguat kuasa.

“Dia antara 41 penagih berusia antara 18 hingga 64 tahun ditahan kerana disyaki mengambil dadah dan akan ditahan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1983.

“Melalui ujian saringan air kencing, 39 disahkan positif dadah jenis morfin, manakala dua orang disyaki positif dadah jenis syabu dalam operasi itu,” katanya.

Katanya, kesemua mereka yang positif dadah ditahan dalam kebun terbabit dibawa ke Ibu Pejabat AADK Daerah Kubang Pasu untuk siasatan lanjut.

Operasi selama lapan jam bermula jam 7 pagi sehingga 2 petang di satu port menagih dadah di Mukim Jeram terbabit disertai seramai 17 penguatkuasa AADK.

Syafieq berkata, pihak mereka meminta masyarakat setempat menyalurkan maklumat sekiranya mengesan aktiviti penagihan dadah mahupun kewujudan port penagihan di kawasan mereka.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com