Baju Merah Kemuka Notis Berhimpun, Nak Balas Demonstrasi Bersih 5


KUALA LUMPUR - Kumpulan Baju Merah telah mengemukakan notis kepada polis untuk mengadakan demonstrasi bagi membalas tindakan Bersih 5 di Dataran Merdeka pada 5 November ini, kata Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Ketua Polis Negara itu berkata, penganjur telah memaklumkan kepada polis pada Selasa mengenai rancangan mereka untuk berhimpun pada tarikh berkenaan, seperti mana disahkan Ketua Polis Bandaraya, Datuk Amar Singh Ishar Singh.

Khalid berkata, polis akan memanggil penganjur untuk membincangkan mengenai maksud sebenar mereka mengadakan demonstrasi itu bagi memastikan ia dijalankan mengikut undang-undang.

"Mereka perlu ikut proses yang ditetapkan termasuk mendapat kebenaran pemilik lokasi selain mematuhi undang-undang. Tetapi sekurang-kurangnya Baju Merah mengemukakan notis.

"Kumpulan lain bagaimanapun belum mengemukakan notis walaupun telah diberitahu supaya memaklumkan kepada kami sebelum mengadakan perhimpunan.

"Tetapi mereka tetap adakan perhimpunan pada bila-bila masa sahaja. Kami mengulangi perkara sama setiap hari tetapi mereka tidak dengar.

"Saya dah bosan kerana perlu bercakap perkara sama setiap hari.

"Jika mahu menganjurkan perhimpunan, boleh teruskan tetapi pastikan ia diadakan mengikut Akta Perhimpunan Aman," katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Khamis.

Khalid juga menolak dakwaan bahawa pihak polis tidak bertindak ketika berhadapan kekecohan dalam beberapa perhimpunan yang diadakan penyokong Bersih dan kumpulan Baju Merah.

"Orang ramai gemar menuduh pihak polis tidak mengambil tindakan, itu sesuatu yang normal. Saya rasa jika polis tidak lakukan apa-apa, tentunya situasi akan menjadi tidak terkawal.

"Sebab itu perlu untuk dimaklumkan masa dan lokasi  demonstrasi akan diadakan, sekurang-kurangnya kami dapat menyediakan anggota yang mencukupi untuk mengawal keadaan sepanjang perhimpunan itu.

"Jika tiba-tiba mereka muncul, contohnya di Chow Kit, bagaimana kami nak menyiapkan anggota?

"Kemudian mereka menuduh polis tidak melindungi mereka. Kedua-dua pihak sering bertindak sedemikian," katanya.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com