#Bajet2017: Kanak-Kanak, Sekolah Tidak Terlepas Terima Peruntukan


KUALA LUMPUR – Bajet 2017 terus memberi penekanan terhadap pendidikan awal kanak-kanak dengan pemberian pelbagai peruntukan antaranya, RM200 juta bagi menambah baik pakej pemakanan bernutrisi harian yang lebih lengkap kepada 280,000 kanak-kanak.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan bajet yang bertemakan ‘Menjamin Perpaduan dan Pertumbuhan Ekonomi, Menghemah Perbelanjaan Inklusif, Mensejahtera Kehidupan Rakyat Seluruh’ berkata peruntukan itu merangkumi susu bersukatan 250 mililiter, kismis dan telur.

“Seterusnya, sebanyak RM132 juta lagi disediakan untuk meningkatkan akses kepada pendidikan prasekolah secara percuma di sekolah kerajaan, memanfaatkan 200 ribu kanak-kanak,” katanya ketika membentangkan Bajet 2017, di Dewan Rakyat, semalam.

Katanya kerajaan juga akan meneruskan Bantuan Makanan Tambahan dan Geran Per Kapita program Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska).

Najib yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan peruntukan RM85 juta bagi program PERMATA yang melibatkan 30,000 kanak-kanak.

Katanya antara inisiatif yang bakal dilakukan melalui peruntukan itu adalah penubuhan Pusat Kecemerlangan ‘Top STEM Talents’ di Akademi Sains Malaysia.

Selain itu, katanya, Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar di Negeri Sembilan, dan Kampus Tuanku Bainun di Pulau Pinang akan diubah suai menjadi pusat PERMATA Pintar dan Berbakat.

Dalam pada itu, elaun bagi 11,000 pembantu Kemas bakal dinaikkan daripada RM400 kepada RM500 bagi menghargai jasa mereka, katanya.

Sementara itu sebanyak RM340 juta diperuntukkan untuk tablet bantuan mengajar kepada 430,000 pendidik menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Selain itu beberapa inisiatif bakal dilaksana di sekolah rendah dan menengah iaitu membangunkan semula 120 buah sekolah daif, 60 di Semenanjung, 30 di Sabah dan 30 di Sarawak menggunakan sistem binaan berindustri serta menaik taraf 1,800 makmal sains dengan peruntukan RM570 juta.

Pembinaan 227 buah sekolah juga akan disiapkan termasuk lapan buah sekolah baharu dengan peruntukan RM478 juta dan memperluas program penguasaan Bahasa Inggeris melalui ‘Cambridge English’, ‘Dual Language’ dan ‘Highly Immersive’ dengan peruntukan RM90 juta.

Selain itu, Bajet 2017 akan membantu ibu bapa menampung kos perbelanjaan persekolahan anak-anak menerusi pelbagai program iaitu:

i. Pemberian Bantuan Persekolahan RM100 kepada setiap pe1ajar daripada keluarga berpendapatan sehingga RM3,000 yang memanfaatkan 3.5 juta murid.

ii. RM1.1 bilion bagi Bantuan Makanan Asrama untuk 365,000 murid.

iii.RM300 juta bagi Rancangan Makanan Tambahan 1Malaysia kepada murid sekolah rendah.

iv. RM1.1 bilion merangkumi Bantuan Bayaran Tambahan Persekolahan, Bantuan Buku Teks dan Bantuan Geran Per kapita.

v. Geran sepadan disediakan kepada pelajar Tahun 1 di sekolah bantuan penuh kerajaan bagi simpanan terkumpul sehingga RM50 dalam akaun SSPN-i.

vi. Menyediakan Elaun Bulanan Murid Berkeperluan Khas sebanyak RM150 kepada 67,000 murid; serta menggantikan bas bagi 21 sekolah berpendidikan khas.

vii. RM600 juta diperuntukkan kepada Tabung Khas Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah yang mana daripada jumlah itu RM250 juta untuk Sekolah Kebangsaan, RM50 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, RM50 juta bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, RM50 juta disalurkan untuk Sekolah Mubaligh; RM50 juta untuk Sekolah Berasrama Penuh; RM50 juta kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan; RM50 juta kepada Sekolah Pondok yang berdaftar; dan RM50 juta kepada Maktab Rendah Sains Mara. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com