Bajet Pembangunan Universiti Awam Naik 154%


KUALA LUMPUR – Meskipun peruntukan perbelanjaan mengurus untuk universiti awam dikurangkan dengan kadar purata 19.23 peratus dalam Bajet 2017, tetapi peruntukan untuk perbelanjaan pembangunannya meningkat sebanyak 153.97 peratus.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan media berkata, peruntukan untuk perbelanjaan pembangunan universiti awam seperti yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lalu meningkat daripada RM671.7 juta pada tahun 2016 kepada RM1.7 bilion untuk tahun 2017.

Jelas KPT, pengurangan peruntukan pendidikan tinggi itu selaras dengan perancangan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) untuk mengurangkan kebergantungan institusi pendidikan tinggi (IPT) kepada kerajaan sehingga 90 peratus pada waktu ini.

“Perbelanjaan pembangunan ini merupakan peruntukan bagi universiti awam untuk melaksanakan projek dan program yang dapat menjana pendapatan dan kegiatan ekonomi masing-masing.

“Peruntukan kerajaan untuk program pendidikan tinggi perlu dilihat secara komprehensif di mana perbelanjaannya meliputi kedua-dua perbelanjaan pembangunan dan perbelanjaan mengurus,” kata kenyataan itu hari ini.

Kata kenyataan itu, hasrat kerajaan adalah dengan peningkatan perbelanjaan pembangunan, maka universiti awam lebih berupaya untuk meningkatkan pendapatan masing-masing dan seterusnya mampu menampung perbelanjaan pengurusannya.

Tambah kenyataan itu, IPT di Malaysia perlu berusaha mendapatkan sumber pendapatan tambahan sebagai alternatif untuk menjadi sebuah institusi pendidikan awam yang lebih fleksibel, kukuh, dan mampan dari segi pengurusan kewangan.

“Dalam masa yang sama ianya memberi peluang yang luas kepada IPT untuk menjalinkan kerjasama dengan industri demi manfaat bersama,” kata kenyataan itu. –Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com