Bajet 2017: Rakyat Harap Bajet Ringankan Beban


JOHOR BAHRU - Pelbagai reaksi diberi masyarakat menjelang Bajet 2017 yang akan dibentangkan esok dengan majoriti berharap ia memberi banyak manfaat untuk menambah baik taraf kehidupan terutama dengan keadaan ekonomi tidak stabil.

Kakitangan bank, Fauzi Ahmad Musa, 35, berkata beliau berharap bajet kali ini dapat memberi fokus kepada isu perumahan.

"Kerajaan diharap memberi penekanan kepada isu perumahan termasuk membantu belia membeli rumah pertama mereka," katanya di sini, semalam.

Pekerja pasar raya, Nursuhaida Mahmud, 39, pula berharap harga rumah dapat dikurangkan bagi memudahkan rakyat membeli rumah.

“Saya harap Bajet 2017 ini, kerajaan kurangkan harga bagi rumah mampu milik khususnya untuk golongan kurang berkemampuan," katanya.

Selain itu, kebimbangan terhadap peningkatan kos sara hidup dan kos barangan juga menjadi dilema buat rakyat. Ada yang mengharapkan kerajaan mengumumkan peruntukan khas atau inisiatif untuk meringankan beban.

Bagi J Selva Kumar, 40, kerajaan diharap dapat mengurangkan beban rakyat khususnya golongan miskin.

“Saya lihat sekarang, golongan miskin antara yang terbeban dengan ekonomi tidak menentu, jadi penting kerajaan melakukan sesuatu untuk membantu rakyat," katanya.

Liew Boon Ween, 32, pula berharap kerajaan dapat memberi manfaat yang lebih kepada rakyat termasuk mengurangkan cukai pendapatan.

"Saya harap cukai pendapatan dapat dikurangkan serta kerajaan diharap dapat memulihkan ekonomi semula," katanya. -Bernama

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com