Bajet 2017: Nor Sabrina Harap Projek KXP Tersenarai


SUNGAI PETANI - Kerajaan negeri akan meneruskan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) biarpun pimpinan dalam pertadbiran kerajaan negeri sudah bertukar.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Datuk Nor Sabrina Mohd Nor berkata, projek berkenaan dilihat sebagai penyumbang utama ekonomi negeri Kedah.

Beliau mengharapkan projek mega itu menjadi satu daripada intipati dalam Bajet 2017 dalam bajet yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Jumaat ini.

"Projek lapangan terbang ini bukannya hasil daripada kepimpinan dan pentadbiran. Walau siapapun pemimpin kerajaan negeri, memang KXP ini adalah satu projek yang akan kita fokus.

"Bagi pihak kerajaan negeri kami mengharapkan dan merayu kepada Perdana Menteri supaya projek ini diberi perhatian kerana ia dilihat sebagai pemangkin terbesar dalam negeri kedah untuk pembangunan ekonomi negeri," katanya ketika ditemui pada sidang media selepas merasmikan Program Bimbingan Berterusan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Pelbagai Sektor 2016 di di sini, baru-baru ini.

Sabrina berkata, selain itu, antara projek yang diharapkan disebut di dalam bajet akan datang adalah Bandaraya Getah Kedah, Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP), Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) Ladang Solar serta dua projek di Langkawi iaitu Karnival Teknologi Hijau ke arah pulau rendah karbon yang pertama di Malaysia dan juga penggunaan kenderaan elektrik (EV).

"Fasa pertama bagi infrastruktur Taman Sains dan Teknologi Kedah akan di mulakanpada tahun depan dan diharapkan untuk infrastruktur selebihnya adalah daripada kerajaan pusat sama ada dalam bentuk geran atau pinjaman kepada kerajaan negeri.

"Selain itu, kita juga mengharapkan ada kuota khas untuk panel solar dan pengurusan sisa pepejal secara lestari di Langkawi akan diberi satu bajet oleh Kerajaan Pusat melalui Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA) bagi projek Karnival Teknologi Hijau serta peruntukan bagi pembangunan infrastruktur projek EV untuk tempat penjanaan di pulau berkenaan," katanya.

Sumber: myMetro

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com