Bajet 2017 Bukti Hasrat Kekal Fiskal Berhemat - Standard Chartered Global Research


KUALA LUMPUR - Penerusan pendekatan penyatuan fiskal dalam Bajet 2017 adalah positif memandangkan suasana pertumbuhan mencabar ketika ini dan mempamerkan hasrat kerajaan untuk mengekalkan dasar fiskal berhemat, kata Standard Chartered Global Research.

Kerajaan menetapkan defisit fiskal 2017 pada 3.0 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), turun daripada 3.1 peratus pada 2016.

Penurunan sederhana itu sejajar dengan jangkaan kami, kata firma penyelidikan itu dalam satu nota penyelidikan.

Defisit fiskal mutlak meningkat sedikit kepada RM40.3 bilion berbanding RM38.7 bilion pada 2016, dan kenaikan kecil ini bukan satu kebimbangan. 


Bagi segmen kredit, agensi penarafan menurunkan penilaian kekuatan kredit Malaysia pada beberapa parameter subpenarafan pada 2016, justeru Bajet 2017 dijangka menjadikan mereka berhati-hati memandangkan fokus kepada perbelanjaan sosial, kata Standard Chartered.

Kerajaan juga meningkatkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) kepada  RM6.8 bilion daripada RM5.9 bilion, sejajar dengan janjinya untuk menyokong isi rumah berpendapatan rendah.

Ini akan meningkatkan BR1M kepada lebih 3 peratus daripada perbelanjaan sekarang.

Meskipun langkah-langkah yang diperkenalkan untuk mengurangkan kos perumahan akan membantu isu mampu milik, kadar tahap hutang isi rumah masih tinggi.

Sementara itu, subsidi yang akan dikurangkan kepada RM22.4 bilion daripada RM24.6 bilion, adalah satu trend yang menggalakkan, kata firma penyelidikan itu.

Daripada 4.5 peratus daripada KDNK pada 2012, perbelanjaan subsidi akan berkurangan kepada kira-kira 1.7 peratus daripada KDNK pada 2017.

Kerajaan mengunjurkan kenaikan jumlah hasil sebanyak 3.3 peratus pada 2017, manakala hasil cukai diunjur berkembang 8.1 peratus meskipun prospek pertumbuhan sederhana, manakala kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diunjur meningkat kepada RM40 bilion daripada RM38.5 bilion. 

"Kami percaya pengumuman bajet itu neutral bagi pasaran kadar dalam tempoh sederhana, walaupun penawaran kasar mungkin meningkat sederhana disebabkan penebusan tinggi Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS)," kata firma penyelidikan itu. –Bernama

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com