Bajet 2017: Bukan Bajet PRU14, Tapi Jalan Penyelesaian Masalah Rakyat


SHAH ALAM - Penganalisis ekonomi berpendapat Bajet 2017 yang bakal dibentang pada Jumaat ini tidak akan dipengaruhi oleh PRU14.

Menurut Pakar Ekonomi Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin, Bajet 2017 kali ini adalah peluang bagi kerajaan untuk membuktikan kepercayaan rakyat terhadap pemerintahan BN.

Menolak kemungkinan bajet kali ini memberi kelebihan buat pengundi BN, Amir sebaliknya berkata, fokus kerajaan pada kali ini adalah dengan menumpukan pemasalahan peningkatan kos sara hidup yang sedang ditanggung rakyat.

“Selalunya orang akan kata bajet dipengaruhi oleh pilihan raya tetapi pada saya, ia tidak begitu.

“Ini adalah masa bagi kerajaan untuk memberi keyakinan kepada rakyat bahawa masalah mereka sedang diambil kira atau diteliti oleh kerajaan,” katanya.

Katanya lagi, isu yang akan menjadi pemangkin utama pada pembentangan Bajet 2017 kali ini adalah kos sara hidup rakyat, pengangkutan awam dan ekonomi negara yang dikatakan berada di paras berjaga-jaga.

“Kerajaan perlu teliti kesemua aspek untuk memastikan rakyat terus mendapat manfaat dari Bajet kali ini.

“Jangan gusar dengan pemotongan bajet ke atas sesetengah kementerian. Itu perkara biasa dalam pengurusan kerajaan. Tetapi bagi saya, kalau perlu melalui pemotongan bajet dalam kementerian, maka semua kementerian di bawah kerajaan perlu dipotong perbelanjaan. Tidak akan ada kementerian yang dianaktirikan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak, Prof Dr Shazali Abu Mansor turut berpandangan sama apabila ditanya tentang pembentangan Bajet 2017 Jumaat ini.

Katanya, bajet kali ini hanya melibatkan bajet urus tadbir negara dan tidak akan dipacu oleh faktor PRU.

"Kalau ada duit lebihan bolehlah kata bajet untuk PRU. Tidak kali ini. Bajet kali ini hanyalah untuk kekalkan tadbir urus negara.

"Dengan keadaan ekonomi yang sangat ketat dan harga minyak rendah, memang agak sukar bagi kerajaan untuk merancang bagi PRU akan datang," katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu laporan berkata, Bajet 2017 yang bakal dibentangkan kerajaan Jumaat ini akan terus memacu serta memperkasakan ekonomi Malaysia demi kesejahteraan seluruh lapisan rak­yat secara inklusif dan saksama.

Beliau berkata, olahan serta perancangan terhadap Bajet 2017 dibuat secara teliti dengan mengambil kira kesiapsiagaan negara berdepan tempias ekonomi global yang tidak menentu.

Mengulas perkara sama, Najib berkata, walaupun kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menghalang pergolakan geopolitik global, sentimen ekonomi antarabangsa atau harga komoditi asas, namun beberapa langkah terbaik sedang dilakukan dalam negara.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com