Baik Pulih Rumah Golongan Miskin Menerusi "Johore Future Home"


JOHOR BAHRU - Program Johor Future Home 2016 bukan setakat menggalakkan aktiviti kesukarelawanan, tetapi juga memberi manfaat membaiki dan membaik pulih kira-kira 300 rumah golongan yang memerlukan.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata menerusi program ini, kira-kira 5,600 sukarelawan belia membaik pulih rumah golongan miskin, asnaf,ibu tunggal, warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Beliau berkata tumpuan diberi kepada pembaikan dan pemulihan rumah golongan kurang berkemampuan berpendapatan bawah RM1,000 sebulan selain mempromosikan gaya hidup sihat dan semangat kesukarelawanan terutamanya kepada golongan belia tanpa mengira bangsa, agama, dan umur.

"Program ini akan melibatkan lima buah rumah di setiap 56 kawasan Dewan Undangan Negeri dan 20 buah rumah di peringkat negeri dengan peruntukan sebanyak RM488,000," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan program itu di Kampung Kuala Masai, Pasir Gudang, dekat sini, Sabtu.

Beliau berkata kerajaan negeri mahu menggalakkan aktiviti seumpama ini disertai golongan muda yang datang daripada pertubuhan atau kelab belia agar ia menjadi penghubung antara generasi muda dengan kerajaan negeri.

"Kita menjalankan program sebegini dengan harapan ia dapat membangkitkan kesedaran dan minat masyarakat terutamanya golongan belia, kerana kita tidak mahu menunggu bantuan daripada orang luar sedangkan kita mempunyai ramai belia tempatan.

"Mereka cuma perlu rela berkorban, sanggup bekerja secara sukarela dan berminat untuk membantu sesama masyarakat," kata Mohamed Khaled.

Menurutnya lagi, pembangunan dan pertumbuhan ekonomi dalam negeri semata-mata tidak bermakna jika masyarakat itu sendiri tidak dibentuk selari dengan kemajuan yang dicapai.

"Kita juga mahu masyarakat di Johor untuk terus mempunyai nilai-nilai yang membentuk keperibadian yang kuat dan kukuh dan kerjasama serta keprihatinan yang mereka beri akan dapat membantu meningkatkan kedudukan sosial masyarakat kita dengan sendiri," katanya.

Program dijangka tamat pada pertengahan November 2016. Johor Future Home adalah cetusan idea Menteri Besar Johor sendiri, yang mahu menyemarakkan semangat Bangsa Johor yang bersatu padu di bawah slogan 'Muafakat Johor'. -Bernama

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com