Baddrol Tekad Hadiahkan Piala Malaysia Kali Ke-3 Malam Ini


SHAH ALAM – Ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar, bertekad mahu menghadiahkan Piala Malaysia kepada peminat skuad Lang Merah untuk kali ketiga apabila Kedah membuat perhitungan dengan Selangor pada aksi final di Stadium Shah Alam, malam ini.

Untuk rekod, pemain tengah kebangsaan itu pernah menjulang Piala Malaysia sebanyak dua kali untuk Kedah pada 2007 dan 2008.

“Kombinasi pemain senior dan junior dalam pasukan kini dalam keadaan terbaik…Saya percaya jurulatih (Tan Cheng Hoe) mempunyai banyak pilihan pemain untuk diturunkan pada perlawanan esok,” katanya dalam sidang media menjelang perlawanan itu di Stadium Shah Alam, semalam.

Sementara itu, perancang tengah Selangor, Andik Vermansa turut bertekad mahu menghadiahkan piala berprestij itu kepada peminat skuad Gergasi Merah setelah diberi tanggungjawab menggalas tugas sebagai kapten pasukan.

“Pertama kali beraksi selaku kapten pasukan pada aksi final sememangnya satu pengalaman berharga untuk saya dan harapnya saya mampu bantu Selangor julang Piala Malaysia buat kali ke-34,”jelas pemain antarabangsa Indonesia itu.

Selangor, selaku juara bertahan, menewaskan Kedah 2-0 pada aksi final musim lepas di Stadium Shah Alam bagi menjulang Piala Malaysia buat kali ke-33. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com