434,535 Calon Duduki SPM 2016 Mulai 7 November Ini


PUTRAJAYA – Sebanyak 434,535 calon mendaftar untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016, demikian menurut Kementerian Pendidikan.

Dalam kenyataan di sini hari ini, kementerian berkenaan memaklumkan peperiksaan bertulis SPM 2016 akan berlangsung mulai 7 Nov hingga 6 Dis ini.

Sebanyak 3,732 pusat peperiksaan akan dibuka di seluruh negara bagi peperiksaan tersebut dan sebanyak 32,220 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar mengikut jadual.

Sebanyak 377,194 calon SPM 2016 atau 86.8 peratus merupakan calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan, menurut kenyataan itu.

Calon sekolah di bawah agensi kerajaan selain Kementerian Pendidikan seperti Maktab Rendah Sains MARA adalah sebanyak 9,094 orang atau 2.1 peratus.

Sebanyak 7,931 calon (1.8 peratus) adalah calon sekolah menengah agama negeri, calon sekolah swasta yang berdaftar dengan kementerian ialah sebanyak 12,847 (3 peratus), calon persendirian sebanyak 25,713 (5.9 peratus) manakala calon sekolah menengah agama rakyat sebanyak 1,756 (0.3 peratus).

“Lembaga Peperiksaan mengingatkan semua calon SPM 2016 agar merujuk kepada jadual waktu peperiksaan untuk maklumat mengenai masa peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung bulan depan,” menurut kenyataan itu.

Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun daripada laman web Lembaga Peperiksaan di alamat http://lp.moe.gov.my.

“Calon diingatkan supaya membawa kad pengenalan masing-masing ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan lancar,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com