4 Jari Terpaksa Dipotong Akibat Jangkitan Kuman

Zamzuri menyerahkan sumbangan kepada Nur Jannah sambil disaksikan Amah (kiri).
SUNGAI PETANI – Hasrat anak perempuan untuk menjaga dan menemani ibu yang sudah uzur tidak kesampaian apabila dia jatuh sakit sekali gus terpaksa menumpang di rumah ibunya setelah empat jari kakinya dipotong.

Noor Janah Ahmad, 53, dari Bandar Amanjaya, di sini tidak menyangka saranan doktor membuang jari tengah kaki kanannya akibat sudah bertukar biru kehitaman tidak mampu mengubati kesakitan sebaliknya menyebabkan jangkitan kuman sehingga terpaksa dipotong.

Menurutnya, sebelum ini dia berhasrat untuk berpindah dari Sik ke Sungai Petani untuk menemani ibunya, Amah Abdullah, 82, yang juga bekas pesakit kanser rahim tahap empat yang tinggal seorang diri di rumah sewanya.

"13 tahun lalu, saya jaga mak bila doktor kata mak ada sakit fibroid. Siang malam mak tanggung sakit sehinggalah tiga bulan kemudian, mak jalani pembedahan membuang ketulan darah sebesar bola di bahagian rahim.

"Lepas pembedahan dan rawatan selanjutnya, mak pulih dengan baik cuma sekarang agak uzur serta kurang sihat kerana sudah tak mampu berjalan pantas, selebihnya kena mengengsot dari satu tempat ke tempat yang lain,” katanya.

Noor Janah yang juga menghidap darah tinggi, kencing manis dan sakit saraf berkata, pada 19 Ogos lalu, jari tengahnya dipotong dan pada keesokan hari pula dua lagi jari dipotong.
“Doktor kata masih ada jangkitan dan nak elak merebak ke bahagian kaki lain serta seluruh badan, doktor suruh potong lagi ibu jari pada 5 September lalu sehinggalah tinggal satu sahaja jari di kaki kanan,” katanya.

Pernah menceburi perniagaan ayam secara kecil-kecilan menyebabkan Noor Janah tidak senang duduk di rumah tanpa melakukan apa-apa.

Dia berhasrat membuka gerai menjual makanan ringan di hadapan rumah bagi menjana pendapatan dan menampung keperluan mereka dua beranak.

Kesusahan mereka mendapat perhatian Econsave yang hadir menyampaikan sumbangan berupa barangan kering dan basah untuk meringankan beban.

Pengurus Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor berkata, pihaknya prihatin dengan kepayahan kedua-duanya dan turun padang bagi menyampaikan sumbangan bernilai RM1,000.

“Kita harap dengan pemberian ini dapat membantu Nor Janah dan Amah menjalani kehidupan seperti biasa dan cepat sembuh,” katanya.

Amah merupakan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menggunakan RM200 daripada RM300 wang yang diperoleh setiap bulan bagi membayar sewa bulanan rumah yang diduduki mereka di Bandar Amanjaya.

Mereka yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 02115-29-00019361-1 atas nama Noor Janah Ahmad.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com