2 Gadis Berpurdah Tebar Roti Canai Di Baling Viral Tarik Perhatian


BALING - Viral dua gadis berpurdah membantu ibu bapanya berniaga roti canai di Kedai Makan Masjid Parit Panjang menjadi perhatian ramai malah turut mengundang pelanggan dari negeri lain termasuk dari pantai timur.

Kehadiran mereka bukan sahaja untuk menikmati roti canai tetapi dengan hajat mahu merisik kedua-dua gadis yang masih belajar di universiti ini.

Ibu dua beradik itu, Rohana Md Rejab, 50, berkata, dua anak gadisnya, Siti Nadwa Abdul Aziz, 24 dan Siti Nur Fatin Abdul Aziz, 22, sering kali dirisik oleh pelanggan sejak mula membantu ayah mereka di kedai pada tahun 2010 hingga kini.

"Sebelum viral hingga sekarang, ada yang datang dari Kelantan, Pulau Langkawi dan Perlis untuk merisik Siti Nadwa dan Siti Nur Fatin.

"Ada juga yang datang membawa ibu mereka ke sini untuk lamar anak kami,"katanya ketika ditemui di kedainya di sini, semalam.

Rohana berkata, ada pelanggan memarahinya kerana  tidak melepaskan Siti Nadwa dan Siti Fatin untuk berumah tangga.

"Ada yang marah kak sebab tidak lepaskan anak, sebenarnya anak belum fikir ke arah itu, mereka masih  mahu tamatkan pelajaran.

"Namun untuk jodoh terpulang kepada mereka, sebagai ibu dan ayah kami akan pantau dan berikan terbaik,"kata ibu kepada anak ketiga dan keempat itu.

Sementara itu menurut ayah dua beradik itu, Abdul Aziz Ishak, 53, Siti Nadwa yang menuntut dalam jurusan Pendidikan Bahasa Arab di Universiti Pendidikan Sultan Idris ( Upsi) dan Siti Nur Fatin dalam bidang Ijazah Bahasa Arab di Kolej Universiti Insaniah ( Kuin) mempelajari membuat roti canai sejak belasan tahun.

Menurutnya, kedua puterinya itu sering membantunya di kedai setiap kali cuti semester .

"Mereka mungkin minat sebab selalu tengok saya tebar roti canai sejak kecil, bila belasan tahun mereka belajar untuk tebar dan masak kerana mahu membantu ayah sendiri.

"Sampai sekarang jika cuti semester mereka akan bantu saya di kedai, Siti Nur Fatin pula sering bantu setiap minggu, Kuin dengan Parit Panjang dekat sahaja,"katanya .

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com