1.2 Juta Pandu Kenderaan Tanpa Lesen - JPJ

Othman (dua, kiri) menunjukkan topi keledar yang selamat digunakan sambil disaksikan Nadzri (tiga, kiri).
ALOR SETAR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyasarkan 100,000 calon warga emas dan masyarakat Orang Asli memperoleh lesen memandu menerusi program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) seluruh negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Nadzri Siron berkata, program kesedaran itu dipertingkatkan dengan kerjasama banyak pihak untuk memastikan hanya pemegang lesen sah menggunakan jalan raya bagi mengelak berlakunya kemalangan.

“Berdasarkan operasi dijalankan, dianggarkan 1.2 juta memandu di jalan raya tanpa lesen, secara puratanya, 15 peratus daripada 100 pengguna yang ditahan tidak memiliki lesen,” katanya, pada sidang media, Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) yang dirasmikan Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Othman Aziz, kelmarin.

Menurutnya, sejak program SKSJ diperkenalkan pada 2009, sebanyak 248 siri program dijalankan di mana seramai 98,182 calon warga emas dan Orang Asli mendapat manfaatnya, manakala bagi Kedah seramai 5,929 calon menerusi 18 siri program.

“Seramai 419 calon yang mengikuti kursus pemanduan, latihan menunggang motosikal dan menduduki ujian berjaya lulus dan layak memperoleh lesen memandu kelas B2 motosikal bagi SKSJ Parlimen Kuala Kedah,” katanya.

Program ini terbuka kepada warganegara Malaysia kategori warga emas berusia 45 tahun ke atas di Semenanjung Malaysia dan 40 tahun ke atas (Sabah/Sarawak) serta 21 tahun ke atas bagi masyarakat Orang Asli untuk membantu mendapatkan lesen kelas B2 motosikal.

Manakala Othman menyarankan golongan itu agar mendapatkan lesen sah selain memahami peraturan di jalan raya dengan memandu secara berhemah bagi mengelak kemalangan kerana hampir 7,000 nyawa terkorban daripada 250,000 kemalangan.

“Kos yang ditawarkan bawah program ini jauh lebih murah berbanding sekolah memandu, ini antara usaha untuk bantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan lesen memandu,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com