Thursday, 29 September 2016

Graduan Anak Muda Kedah Mahu IMAN Dikekal Setiap Tahun

Nurul Shuhada Hassan Jamal
ALOR SETAR - Graduan-graduan muda anak Kedah memandang program Internship Mahasiswa Anak Negeri (IMAN) sebagai satu inisiatif yang sangat baik dari Kerajaan Barisan Nasional Negeri Kedah bagi memberi pendedahan kepada mereka mengenai pentadbiran dan pengurusan kerajaan negeri.

Membuka ruang selama 6 bulan mengikuti program IMAN, pengalaman berguna yang diperoleh graduan-graduan muda itu amat berguna bagi mengenali struktur dan realiti proses mentadbir sebuah kerajaan negeri dalam usaha memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

"Lepas selesai mengikuti program ini, kami mungkin berpeluang untuk diserap masuk berkhidmat untuk rakyat bersama kerajaan negeri.

"Namun jika tidak diserap sekalipun, segala pengalaman yang kami perolehi dari program ini boleh digunakan di agensi, syarikat swasta atau perniagaan yang kita ceburi nanti, ia merupakan satu kelebihan bagi mereka yang mengikuti program IMAN ini," kata salah seorang graduan, Nurul Shuhada Hassan Jamal, yang menghadiri temuduga program tersebut, di sini, hari ini.

Nurul Shuhada yang berasal dari Kampung Padang Pusing, Pendang, merupakan graduan ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dalam jurusan Multimedia, mengharapkan agar dia terpilih mengikuti program tersebut dan akan memberi khidmat terbaik sekiranya dipilih.

Mohammad Naim Azuddin
Bagi Mohammad Naim Azuddin yang merupakan seorang graduan diploma dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis, dalam jurusan Perakaunan berpandangan bahawa program IMAN memberi ruang kepada anak muda untuk memberi idea-idea segar dan kreatif kepada pentadbiran kerajaan negeri berbanding membuat kritikan membuta tuli.

"Program IMAN ini merupakan antara program terbaru yang dicetuskan dari idea Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipa sendiri dan saya rasa program begini amat baik bagi semua pihak.

"Selain memberi pengalaman terbaik kepada kami, kami juga boleh membantu kerajaan negeri dengan memberikan idea-idea kreatif kepada kerajaan negeri daripada mengkritik kerajaan secara melulu.

"Ia akan beri kesan positif sama ada kepada kerajaan mahupun kami anak muda," katanya.

Graduan yang berasal dari Sik itu menjelaskan bahawa ribuan graduan-graduan muda dari seluruh Kedah amat berharap untuk terpilih menjadi sebahagian dari 25 peserta program berkenaan ekoran pengisiannya yang memberi manfaat kepada semua pihak.

Dia juga mengharapkan agar Ahmad Bashah terus mengekalkan program IMAN sebagai sebuah program yang dilaksanakan setiap tahun di negeri Kedah.


Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Dato' Shaiful Hazizy Zainol Abidin yang turut hadir memantau proses temuduga program IMAN itu menjelaskan bahawa

"Idea ini tercetus dari Menteri Besar kita sendiri, Datuk Seri Ahmad Bashah. Kita nak mencari dan mencipta potensi anak-anak muda negeri Kedah.

"Selain itu, kita mahu mencipta 'role model' di kalangan anak-anak Kedah untuk menarik minat anak-anak Kedah yang lain supaya kembali dan menabur bakti serta memberi tambah nilai kepada negeri kita ini.

Katanya, program IMAN akan membuka peluang kepada graduan-graduan anak negeri berfikir di luar kotak dengan mencetus dan memperkembang idea-idea baru bagi memajukan negeri jelapang padi ke arah yang lebih baik.

Seramai 1,052 graduan anak negeri Kedah telah memohon untuk menyertai program IMAN yang pertama kali diperkenal pada tahun ini, 100 pemohon yang disenarai pendek untuk ditemuduga bagi memilih 25 peserta bertuah untuk mengikuti program tersebut.

Seramai 25 peserta yang terpilih akan diberikan pendedahan secara praktikal dan menyeluruh di dalam pentadbiran Kerajaan BN Negeri Kedah, serta bakal ditempatkan di pejabat Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Exco Kerajaan Negeri dan sebagainya bagi tempoh 6 bulan. -Kedahnews.com

No comments:

Post a Comment