Al-Fatihah: Sultan Azlan Shah Mangkat Sebentar Tadi

Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah, Sultan Perak yang ke-34 dilaporkan telah mangkat sebentar tadi kira-kira pada jam 1.30 petang.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dalam kenyataannya sebentar tadi mengumumkan kemangkatan Sultan Perak itu pada usia 86 tahun.

Jenazah Al-Marhum Tuanku Azlan Shah dilaporkan masih berada di Kuala Lumpur dan difahamkan akan dibawa pulang ke Batu Gajah, Perak.

Selain itu, Zambry berkata, jenazah Sultan Azlan akan disemayamkan di Balairong seri, Istana Iskandariah di Kuala Kangsar sebelum dimakamkan di Makam Diraja Al-Ghufran selepas solat Asar, esok.

Al-Marhum Tuanku Sultan Azlan Shah diputerakan pada tahun 1928, berkahwin dengan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Siti Bainun Mohd Ali, dan dikurniakan seramai dua orang putera dan tiga orang puteri.

Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah merupakan putera baginda yang sulung dan diikuti oleh Raja Azureen, Raja Ashman Shah, Raja Eleena dan Raja Yong Sofia kemudiaannya.

Al-Marhum Baginda kemudiannya telah ditabalkan sebagai DYMM Yang DiPertuan Agong ke-9 pada 26 April 1989 di Istana Negara dan dihadiri oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri-Menteri kanan.

Memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang seawal tahun 1953, Al-Marhum telah disahkan menjadi ahli di dalam The English Bar oleh The Honorable Society of Lincoln’s lnn setahun selepas itu.

Dimahkotakan sebagai Raja Muda Perak pada 1 Julai 1983, Al-Marhum Tuanku Azlan Shah menaiki takhta Kerajaan Perak pada 3 Februari 1984, setelah melepaskan jawatannya sebagai Ketua Hakim Negara, kira-kira 30 tahun yang lalu.

Dilihat sebagai lambang kedaulatan Kerajaan Negeri Perak, Al-Marhum Tuanku Sultan Azlan Shah sangat disayangi dan dikagumi oleh seluruh rakyat Malaysia, khususnya rakyat negeri Perak, khususnya atas kreadibiliti tinggi, kebijaksanaan dan ketinggian ilmunya.


KedahNews.com turut berkongsi kesedihan atas kemangkatan Al-Marhum Sultan Azlan Shah dan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya serta ditempatkan di kalangan para auliya' dan soliheen. Al-Fatihah. -KedahNews.com




No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com